Related Posts with Thumbnails
Related Posts with Thumbnails
bismilah Pictures, Images and Photos

Thursday, October 16, 2008

Pelihara sutera tenun Pahang


arus kemajuan yang melanda turut sedikit sebanyak menjejaskan keaslian seni tenunan berkenaan kerana ramai pengusaha mula menggunakan kaedah moden yang sering membuatkan pembeli keliru.

Bagi menjamin keaslian dan ketulenan kain sutera tenunan tangan terus terpelihara, pengusaha tenun di Pahang mula mengambil pendekatan positif bagi memastikan hasil usaha turun-temurun nenek moyang mereka tidak dibiarkan lupus begitu saja.

Memiliki kemahiran menenun hampir 50 tahun, Nortipah Abdul Kadir, 63, dari Pusat Tenun Pahang, Pulau Keladi, Pekan, tidak menafikan kesukaran dan kesulitan ketika melakar corak kain tenun menyebabkan ramai yang tidak berminat menceburi industri tenunan berkenaan.

Menurutnya, fabrik sutera tenun Pahang yang dihasilkan dengan teliti tanpa sebarang kecacatan dianggap lebih bermutu tinggi selain mempunyai keistimewaan tersendiri.

Hanya mereka yang arif mengenai tenunan berkenaan saja yang dapat membezakan antara sutera tenun Pahang (dihasilkan sejak 40 tahun lalu) dengan fabrik sutera tenun keluaran pengusaha di tempat lain.

“Bagi yang sudah dapat mengenal pasti keaslian sutera tenun Pahang, ia dapat dikenali dengan hanya memegang serta membuka lipatannya.

“Tidak dapat disangkal semua fabrik sutera tenun adalah asli tetapi masih ada antaranya yang benar-benar asli tetapi amat susah mendapatkannya kini,” katanya.

Selain itu, Nortipah berkata, jahitan sepit udang adalah elemen terpenting dalam menghasilkan fabrik sutera asli tenun Pahang dan ciri itulah yang membezakannya dengan tenunan di tempat lain.

Dia berkata, pemilihan warna untuk kepala kain yang terletak di bahagian tengah badan kain juga memerlukan kombinasi warna yang sepadan bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan memiliki motif tersendiri dari segi reka corak serta susunan.

Menurutnya, bukan mudah untuk melakar rekaan melainkan seseorang itu mempunyai daya ketekunan, kerajinan serta kesungguhan yang tinggi kerana ia memerlukan masa yang lama untuk dihasilkan

“Tetapi sayang, dalam keadaan sekarang sukar untuk mencari penenun yang masih berpegang kepada konsep tenunan kaedah lama iaitu menggunakan mesin penenun kayu.

“Penampilan fabrik dan reka corak tenun Pahang masih dianggap sebagai antara hasil kerja kraftangan bermutu dan setanding dengan songket Terengganu, songket Kelantan, telepok, limar, mastuli sutera China, sutera India dan sutera Siam,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Karyawan Tenun Diraja Peringkat Kebangsaan 2007 ini berkata, permintaan terhadap tenun Pahang diraja kini semakin meningkat serta mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.

“Sambutannya kini semakin hangat tetapi sebagai pengusaha, kami tidak tamak dalam mengejar keuntungan semata-mata tanpa memelihara mutu dan keaslian tenunannya. Begitupun, memang diakui terdapat segelintir pengusaha yang mengutamakan kuantiti daripada kualiti.

“Memang diakui, kaedah sekarang lebih ringkas kerana pengusaha menumpukan pada benang sutera puar dari China dan Terengganu selain penggunaan warna sintetik yang lebih moden serta menjimatkan. Walaupun wujud persaingan daripada tenunan lain serta sutera import, sutera tenun Pahang Pulau Keladi masih tetap menjadi pilihan ramai,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment



kain sutera كاين سوترا © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO